Ahad, Oktober 23

Mat Semberono

Akhirnya pada malam itu Mat Semberono mengeluarkan satu kotak kasut dari dalam stor. Lebih 5 tahun kotak itu dibiarkan tidak berusik dan disorok dalam-dalam bawah almari reput. Disapunya habuk tebal pada kotak tersebut. Terbang habuk halus-halus bertebaran ke udara. Mat Semberono meletakkannya di atas lantai dan dia duduk dekat-dekat dengan kotak itu. Lalu diibukanya perlahan-lahan. Di dalamnya masih seperti dulu.

Barang-barang pemberian seorang perempuan. Keluh kecil Mat Semberono teringatkan perempuan manis yang dikenalinya dulu. Mat Semberono tahu perempuan itu menunggunya. Menunggunya dengan lama.

Bukan tak cinta, bukan! Cinta telah tumbuh dan meranum. Bak tulip yang mengembang. Mekar bak mawar yang dibasahi embun dan penuh warna. Cinta tidak akan tumbuh semberono. Cinta tidak akan senang-senang berputik melainkan ada getar di kalbu. Ada melodi dan irama yang berdenting. Ada gemuruh. Ade emosi yang indah dan berat. Ada suara yang berpuing-puing mendayu. Ada resah. Ada gementar. Ada sayu. Ada khuatir. Ada takut. Ada persoalan. Ada sangsi. Ada sepi. Dan juga rindu. Ya, ada rindu. Rindu yang tak boleh disorok, tak boleh ditipu. Yang hadir menuntut. Yang hadir setiap malam. Yang menemani di kala hujan. Terbawa ke dalam mimpi. Yang riuh seperti guruh. Yang kuat seperti petir.

Kerana cinta itu hadir seperti bunga, berkembang senyap-senyap dan menampakkan kelopak-kelopaknya yang berwarna. Kerana cinta itu datang tanpa diminta. Tanpa ada desakan. Tanpa ada protokol dan aturan. Maka Mat Semberono merasakan dirinya sangat dungu. Dia menjadi lelaki bodoh. Dia tenggelam dalam dolak dalik cinta yang mendesah hati. Barangkali Mat Semberono waktu itu tidak cukup ilmu tentang cinta. Yang disenaraikannya tentang cinta tadi adalah barangkali juga adalah jawapan kepada filem Ada Apa Dengan Cinta. Cinta. Ada apa dengannya? Jika dulu soalan ini diajukan kepada Mat Semberono, yang dia tahu jawab cumalah; "merepek!" Mat Semberono menyedari kelewatan dirinya menyambut hati yang perempuan itu tawarkan. Argh !

Ditinggalkannya kotak kasut itu terbiar di lantai. Mat Semberono keluar mengambil angin malam. Tahu-tahu saja jasadnya sudah di dalam kedai tujuh sebelas. Hujan renyai-renyai membasahkan jalan sebaik Mat Semberono selesai membuat pembayaran. Dihirupnya Slurpee perlahan-lahan. Dan tanpa diminta, rindu pun bertandang. Ke mana saja perempuan itu sekarang? Ah, kalau saja aku pantas dulu. Entah apa yang aku ragukan aku sendiri tak tahu. Lembab. Bisik hati Mat Semberono dalam dingin malam.

Demikianlah lelaki. Ketangkasan akal akan lebur bilamana ayat-ayat cinta mendayu-dayu dan meresap terus ke hati. Yang selalu ditidakkan dan dinafikan oleh Mat Semberono. Takut kalau-kalau perempuan itu hanya menawarkan penipuan. Penipuan yang menampakkan segala kemanisan hingga membutakan hati tuan.

Adakalanya di dalam sela-sela angin terpacul sekali sekala rasa kesal dan sedar. Barangkali panah arjuna cinta telah mengena tepat ke tangkai hatinya. Ah, sudahlah. Panah kau lambat mengena wahai arjuna cinta. Apa lah yang boleh dilakukan Mat Semberono ketika itu. Perempuan manis itu pun entah di mana keberadaannya.

Malam itu Mat Semberono sedar ada peperangan emosi dalam lubuk kalbunya. Kotak kasut itu harus segera dibuang. Biar waktu saja yang membuang kehadiran perempuan itu kerana Mat Semberono sendiri tiada kudrat.

2 ulasan:

PENCONTENG berkata...

ada jodoh tak ke mana.

:)

berdoa lah.

nousya berkata...

lalu Mat Semberono pun berdoa