Selasa, Mac 19

angah

Ah, tangga Batu Caves.

Anak tangga sebanyak dua ratus lebih itu aku turuni dengan  perasaan terpaksa dan kurang sabar. Seperti tiada sudah. Bayangkan hari-hari turun naik tangga yang sebegitu tinggi sampai ada masa aku sendiri boleh diancam maut akibat semput. Tidak hairanlah sudah turun temurun warga UIA menggelarnya dengan panggilan sebegitu. 

Pada anak tangga terakhir aku melirik jam di telefon bimbit. Macam tak sempat. Sekarang bukan masanya untuk aku berkira-kira sama ada mahu menggunakan khidmat bas atau teksi. Biarpun aku tahu tambangnya mahal menggila tapi aku tidak teragak-agak untuk menahan teksi yang mendatang.

Teksi yang aku naiki menderu laju menuju ke KLIA. Langit menjadi gelap berserta guruh yang kedengaran menandakan hujan akan turun. Lalu rintik-rintik kasar air hujan mula jatuh dan mengena cermin teksi. Hati aku berdoa, Tuhan, janganlah kau pisahkan kami sebelum sempat kami bertemu.

Aku menyerahkan sejumlah wang kepada pemandu teksi tanpa peduli tentang baki. Aku bergegas keluar dari perut teksi dan berlari, berlari sepantas yang mampu. Angah bakal pergi. Jauh beribu batu dan bertahun lamanya. Pasti aku bakal merindukan sisi lucunya mencipta usikan lucu dan kekadang menyakitkan hati. Perbualan serius tentang politik juga perancangan masa depan. Juga soalan-soalan tentang perundangan yang  ada masa aku tak punya jawapan. Nah, itu angah. Satu-satunya lelaki yang boleh aku selami pemikirannya. Yang selalu menjadi tempat rujukan aku bertanya soalan remeh mahupun soalan berat. Mungkin juga kerana di rumah cuma angah yang sealiran bidang pengajiannya dengan aku. Walaupun begitu, di antara kami tetap terasa seperti ada dinding yang memisah.

Dalam larian yang mula perlahan aku terlihat sekumpulan manusia. Keluarga aku. Dan ditengah-tengah, angah dipeluk-peluk saudara-mara kami. Aku berjalan pantas menghampiri. Terlihat lambaian angah ke arah mereka seperti sudah mahu berangkat. Aku teriak memanggil angah. Angah cuba mengelak ketika aku hampir untuk memeluknya. Tapi bajunya pantas aku tarik. Aku peluk angah kuat. Pelukan aku dibalas dan lengan baju aku terasa hangat. Ada titisan air mata jatuh di situ. Angah menangis.

Jam penggera yang menjerit pantas aku matikan. Lima pagi. Suasana gelap. Ada air di hujung mata. Menangis dalam tidur? Perasaan sedih dan sunyi pantas menghurung jiwa. Entah ke mana angah mahu pergi dalam mimpi tadi, aku sendiri tak tahu. 

2 ulasan:

Abul Akmal Arif Bin Anuar berkata...

tak basuh kaki sebelum tidur !

nousya berkata...

basuh okay !