Rabu, Mei 29

mati

Marilah bersama-sama saya menyedekahkan Al-Fatihah ke atas pemergian ayahanda sahabat baik saya yang pergi bertemu ilahi, Khamis lalu 23 Mei 2013. Sesungguhnya Dia lah yang memberi jasad dan nyawa, juga yang mematikan yang hidup.

Pada ketika saya menulis catitan ini, ada hingus yang bertakung pada hidung. Baru tadi saya menelan pil dan sekarang saya hanya menunggu masa untuk mata mengantuk. Blog ini dijadikan alat untuk membunuh masa yang emas kerana jujurnya, saya ada tiga lagi subjek fatal untuk dihadam. Badan lesu, hidung terganggu dan diriku terdera hanya kerana tidur yang cuma sejam dan pembacaan yang tiada rehat.

Saya terimbas kembali tentang segala sakit yang saya alami selama ini. Dan kerap kali, sakit itu datang kemudian menghilang. Tetapi diganti pula dengan sakit yang lain dalam jarak masa yang dekat. Sekerap itu. Sehinggalah satu hari, sedang saya duduk memikirkan pengakhiran hayat seorang manusia, tentang ajal yang misteri, teman sebilik menegur, barangkali musykil dengan riak wajah saya yang kegusaran.

Bicara kami terus menjurus ke bab kematian apabila saya mengujarkan kepadanya tentang sakit saya yang kerap kali menimpa diri. Barangkali, ini tandanya Tuhan menyampai pesan, bahawa hidup saya bakal berakhir sebentar saja lagi. Saya dimarah, hanya kerana berbicara tentang itu. Tentang mati. Barangkali juga, percakapan saya seolah-olah berharap untuk segera dimatikan.

Bukan begitu. 

Apakah salah bagi saya berfikir sejenak tentang ketentuan yang satu itu? Sekerap mana pun sesorang itu berfikir tentang jodoh, ya, ajal maut seharusnya lebih selalu menyinggah di fikiran dan dizahirkan pada perbualan. Bukankah mati itu lebih pasti berbanding perkahwinan? Tak begitu?

Akhirnya, teman sebilik hanya diam dan memerhati saya yang sedang berkerut pelipis menahan sakit. Kegusaran yang itu kemudian saya panjangkan hingga ke satu hari di mana saya dengan secara tiba-tiba berkeputusan menulis pesanan terakhir, dalam erti kata lainnya wasiat. Sekadar menulis tentang ucapan penghargaan dan juga maaf kepada orang-orang penting. Entah, saya pun aneh memikirkan kelakuan saya ketika itu.

Maka banjirlah air mata. Mengenangkan bahawa ada azab yang perlu ditempuh di alam yang satu itu. Baiknya amalan seseorang itu  semasa hayatnya, maka mudahlah urusannya di sana. Juga sebaliknya. 

Dan pada hari yang lain pula, ada mesej diterima dari teman sebilik yang tadi.

-Wey qiqi awat hang banyak duk like status pasal kematian ni. Risau aku.

-Status apa? Aku tak online lah, tengah study dari tadi. Sambil teringat yang laptop sudah saya kurungkan ke dalam locker.

-Dari hari tu hang duk sembang pasal mati, mana aku tak risau.

-Eloklah fikir mati. Biaq kalut sikit tambah amalan buat bekal ke sana.

-Hang jangan pergi tinggalkan aku tau. Moga hang panjang umoq.

-Haha. Kalau panjang umoq, tapi terus-terusan buat dosa pun, tak guna juga.

Sakit itu ujian. Musibah atau kehilangan juga ujian. Kedatangannya menambah ingatan kita kepada Allah. Supaya terus-terusan berdoa, mengingat kepada zatNya. Pada waktu itulah fikiran kita kuat kepadaNya. Maka di sinilah perlunya syukur atas nikmat yang selama ini Allah berikan. Tapi akhirnya kita salah guna nikmat tersebut ke arah melalaikan diri dengan urusan yang tak berkepentingan. Syukur itu kemudiannya diterjemahkan kepada menambah amalan-amalan kita yang serba lompong dan perkara-perkara yang diredhai Allah.

Jika pada suatu masa dahulu, para sahabat amatlah risau jika sekiranya Allah tidak menimpakan mereka dengan sakit atau sebarang musibah. Bimbang jika Allah tidak kasihkan mereka. Realitinya sekarang, betapa mudahnya kita mengeluh, bersedih atau berputus asa setiap kali kita ditimpa sebarang ujian dari yang sekecil-kecil mahupun sebesar-besar musibah. 

Moga dengan ujian yang menimpa kita bakal menggugurkan dosa-dosa kita yang lalu. Dan haruslah diingat, jika kehilangan atas kematian menimpa, kehilangan itu bukanlah bermaksud lesap tiada serta merta. Ianya cuma tentang berpindah ruang. Dari ruang yang sementara ke ruang yang benar azalinya. 

Kematian itu adalah satu hal yang pasti. Sudah tercatat di luh mahfuz, nama yang sekian-sekian pastinya bakal pergi beserta sekali tarikh yang sekian-sekian, yang mana bakal menemukan kita dengan yang Maha Kuasa, berhadapan dengan Tuhan. Moga saya dan kita semua yang masih hidup ini terus-terusan memperbaiki diri dan menambah amalan selagi masih diberi peluang. Dan moga di alam yang sana nanti kita semua dipermudah perjalanan supaya sampai ke destinasi yang lebih hakiki.

Sehari sakit, mengingatkan seribu hari sihat yang tak disyukuri. 

Enough enjoyment of this temporary dunya dear self, enough.

Hingus mengering
Mata me-layu
Kuyu
Tidur dulu

Wallahu 'alam bissawab.


*nota rojak : Hadirkan diri ke konvensyen ini untuk memperbaiki peribadi.

2 ulasan:

Awan Putih berkata...

terbaik. macam biasa. terima kasih kerana berkongsi fikiran.

nousya berkata...

:)