Sabtu, September 14

maqtub

Barangkali, ada di antara kita adalah pengembara. Melangkah tanpa arah tuju. Tanpa panduan di tangan. Berkelana ke mana saja.

Sepanjang perjalanan ada yang mendatangi. Baik binatang berbisa, bencana alam, guruh berdegar-degar, kehabisan bekalan makanan atau mungkin juga dirompak hingga tidak punya apa-apa. Kemudian berhenti sebentar menumpang teduh dan bersandar pada rendang sang pohon. Dan berjalan semula sebaik reda lelah yang ditanggung dan kering percik peluh di dahi. 

Seperti kita melihat ais yang beku kemudian perlahan mencair, batu yang ditimpa hujan bertalu-talu berubah bentuk menjadi lekuk, apa lagi hati manusia yang dari polos menjadi buruk. Kita gagal adakalanya, kita berjaya adakalanya. Seperti kita melihat kupu-kupu terbang, melihat puyu berenang, melihat jatuhnya daun dari pohon, juga hujan musim tengkujuh. Ada yang kita sapa hari ini, kemudian diberitahu akan kematiannya keesokan hari. Ada yang bersahabat bertahun lamanya, kemudian saling menjadi asing sesama sendiri. Dan pasti ada yang terluka atas setiap apa yang kita lakukan.

Kerana dalam setiap daripada kita, juga kepayahan dan musibah yang kita tempuh, ada yang telah merencana. Kita bukannya pelakon. Dan tanah yang kita jejak bukanlah pentas lakonan. Dunia ini bukan kepura-puraan dan akhirat bukannya mainan. Perjalanan tadi diteruskan sehinggalah yakin apa yang cuba dicari telah ketemu. Pengakhiran yang hakiki. Kerana yang melangkah adalah kita. Kerana yang memilih arah adalah kita. Hidup bukan sekadar hidup. Kita sekadar hamba yang mengikut arus maqtub.

Begitulah. Setiap dari kita punya takdir, yang sudah tertulis di dalam buku milik kita sendiri. Dan aku melihat setiap orang yang lalu lalang, menjinjing bukunya dan apa yang termaqtub di dalamnya.

Bak kata sang alim"semua ini ketetapan Allah."

Ada benarnya. Siapa yang lebih mengetahui selain daripada Allah, bukan ?

Kalau hidup sekadar hidup
Babi di hutan juga hidup
Kalau bekerja sekadar bekerja
Kera juga bekerja
- Buya Hamka

2 ulasan:

Tukang Kata berkata...

Dapat D dalam subjek Land Law I juga adalah salah satu ketetapan Allah. haha hahaha HAHAHA

Antara Jabbariyah & Qadariyyah, aku di tengah-tengah.



nousya berkata...

tidak bersungguh mungkin salah satu asbab munculnya huruf D dalam keputusan peperiksaan kita

land mudah saja, jika dibanding dengan aku lah. hahaha

takdir, tukang kata. takdir