Isnin, Mac 17

161212

Malam itu aku keluar mencari kau.


Kau bersandar di sofa usang. Aku bergerak perlahan, dan merebahkan kepala di bahu kau.

"Berat kepala kau. Beban apa kali ini?"
"Hmm..."
"Jangan simpan lama sangat. Patah bahu aku nanti."
"Lagi seminit. Boleh?"
"Pernah ke aku kata tak boleh?"

Entah apa yang ada di benak kau. Aku tahu kau sendiri dah punya terlalu banyak beban untuk ditanggung. Tidaklah aku sesenang hati menambah beban kau yang telah sedia ada. Sudah terang, itu masalah aku sendiri.

Kau ingat lagi, sepuluh tahun lalu waktu aku berdepan dengan orang yang dah buat kau menangis?

"Jangan bagi aku nampak kawan baik aku menangis. Kalau aku nampak, aku akan buat kau menangis hari-hari, setiap saat."

Bukan main lagi aku waktu itu. Konon dah cukup hero.

Dan sejak hari itu, bila kau menangis, kau akan pastikan kau berseorangan. Atau paling tidak, kau akan menangis sambil berselubung dalam selimut, menyorok.

Tapi kali ini semuanya berbeza. Aku yang kau kenal sebagai seorang yang berjiwa gagah dan tak mudah goyah sepuluh tahun lalu akhirnya menjadi kau yang datang mencari tempat mengadu dan menangis.

Kita seperti bertukar peribadi.

Dan malam ini, sekali lagi aku ingin mencari kau. Hanya untuk menangis. Tapi kau entah di mana.

Aku tak sedar apa silapnya aku bila satu hari aku dibiar, dan gagal bertemu kau. Sampai satu ketika aku ternampak kau berjalan laju. Aku teragak-agak untuk memanggil. Dan akhirnya aku biarkan saja kau terus berjalan, tanpa perasankan aku.

Entahlah. Aku cuma berharap kadang-kadang kau ada untuk mendengar, meneman, juga tersenyum untuk aku bila aku tak mampu. Seperti yang aku pernah buat bila kau cari aku.

Tolonglah bersikap jujur dan berkata benar.

Kau benci aku, ya? Atau, apa mungkin aku ini membebankan?









Tiada ulasan: