Isnin, Oktober 6

aku pun tak tahu

Berbulan lamanya aku menahan kemahuan menulis. Bukan kerana apa pun. Hanya mahu menghindar dari menulis yang bukan-bukan. Yang bukan-bukan bagaimana? Aku sendiri tak tahu. Barangkali tulisan yang ini.

Sewaktu aku berumur 19 tahun, aku telah menghantar 3 bab pertama tulisan aku kepada seorang penulis. Tidak lama selepas aku mengirim tulisan tersebut, aku terima email balas dari editor. Apa yang boleh disimpulkan dari isi email tersebut adalah;

- menurut editor, gaya penulisan aku okay. Apa yang okay aku pun tak tahu
- gaya penulisan aku adalah minimal. Jika ditambah baik mesti lagi power
- editor berminat dengan tulisan aku

Begitulah ringkas komen editor tersebut. Turut disertakan sekali adalah nasihat dan pandangan membina untuk memperbaiki apa yang kurang supaya boleh diangkat penerbit untuk dijadikan buku. Tapi aku noktahkan semangat aku di situ. Aku tak mahu.

Kemudian ketika usia aku 22 tahun, aku sekali lagi menghantar 2 tulisan aku kepada penerbit buku. Tulisan ala kadar saja, asal siap. Hasilnya, kedua-duanya diterbitkan di dalam buku bersama banyak lagi tulisan dari penulis-penulis lain. Kerdil dan hina saja aku jika dibanding dengan yang lain. Apa bagusnya tulisan aku, macam biasa aku pun tak tahu.

Bertahun setelah kedua-dua peristiwa tersebut berlalu, aku rasa biasa-biasa saja. Tak ada penghormatan apa lagi pencapaian untuk dibangga-banggakan. Boleh dimengerti apa sebabnya sedemikian rupa. Aku bukannya menulis buku. Menulis cerita pendek langsung tidak mengangkat seseorang itu sebagai penulis, seniman atau orang seni. Tetapi sepertimana kita malu memperdengarkan suara sendiri yang dirakam, begitu juga aku yang malu membaca tulisan sendiri.
   
Rupanya selepas fasa menulis dan kemudian diterbitkan, ianya tidak berhenti di situ saja. Fasa yang kemudiannya adalah ketika membaca komen-komen tentang penulisan aku oleh pembaca. Ada yang memuji ada juga yang kritik. Tetapi itulah. Aku ini manusia yang berlagak cool padahal dalam diam hati aku terkesan dengan komen-komen tersebut. Tetapi jangan risau. Sebelum aku dikritik, aku sudah terlebih dahulu mengkritik diri sendiri.


Because I am my worst critic. 

Tiada ulasan: